SPA buat peperiksaan dalam talian tapis pemohon

spa

ALOR SETAR – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan melaksanakan peperiksaan secara dalam talian bagi memudahkan pemohon sebelum dipanggil untuk temu duga.

SPA dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan peperiksaan secara dalam talian itu merupakan satu langkah transformasi dalam usaha menambah baik perkhidmatan yang disediakan.

Katanya untuk melantik penjawat awam yang terbaik, peperiksaan merupakan satu daripada tapisan sebelum seseorang calon dipanggil untuk temu duga.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun, akan merasmikan majlis pra pelancarannya pada 27 Mei (Selasa) di ibu pejabat SPA Putrajaya bagi jawatan pegawai pembangunan masyarakat gred S41 melibatkan 3,000 orang calon,” menurut SPA dalam satu kenyataan sempena Persidangan Tahunan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia kali ke-17 di Langkawi yang berakhir hari ini.

Majlis penutupan persidangan yang bermula Isnin itu disempurnakan Joseph Entulu.

Menurut SPA pada 2013, statistik permohonan calon untuk memasuki perkhidmatan awam melebihi dua juta dan bagi empat bulan pertama tahun ini, melebihi satu juta calon.

“Ia merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah SPA dalam tempoh yang singkat serta boleh dibanggakan hasil daripada transformasi yang telah dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sepanjang empat hari persidangan berkenaan pelbagai perbincangan dan resolusi serta cadangan dibentangkan hasil daripada lima kertas kerja selari dengan tema persidangan iaitu “Menjiwai Transformasi Mendepani Cabaran’.

Lima kertas kerja tersebut adalah “Keberhasilan Transformasi SPA”, “Konsep Tahan Kerja dan Gantung Kerja”, “Pengalaman dan Inisiatif PDRM Untuk Menarik Kaum Bukan Bumiputera Menyertai Perkhidmatan Awam”, “Transformasi Perkhidmatan Awam” dan “Kuasa dan Budi Bicara Suruhanjaya: Sejauh Mana Kebebasannya?”. – Bernama

  • Leave a Comment