Perintah Kawalan Pergerakan: Soalan Lazim Untuk Pekerja Oleh Kementerian Sumber Manusia

Perintah Kawalan Pergerakan. Berikut merupakan soalan lazim khas untuk golongan pekerja di seluruh Malaysia yang disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk menghadapai perintah kawalan pergerakan ini.

Soalan lazim ini boleh diguna pakai untuk semua golongan pekerja tak kira swasta ataupun kerajaan.

Perintah kawalan pergerakan ini berkuat kuasa daripada 18 Mac hingga 31 Mac 2020 untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan: Soalan Lazim Kementerian Sumber Manusia

1. Jika majikan paksa saya datang kerja dalam tempoh 18 hingga 31 Mac 2020, apa yang perlu saya lakukan? 

 Ya. Pekerja yang bekerja dalam perkhidmatan perlu (essential services), perlu hadir bekerja berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342). Majikan perlu mengambil langkah-langkah seperti berikut: 

i. Majikan mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minima atau sekurang-kurangnya sebanyak 50% daripada jumlah semasa. 

ii. Majikan memastikan pergerakan terhad pekerja terbabit. 

iii. Majikan menyediakan alat saringan suhu badan, dan mengambil bacaan suhu badan pekerja pada setiap hari. 

iv. Pekerja hendaklah mematuhi prosedur pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh KKM yang dikeluarkan dari masa ke semasa. 

v. Majikan hendaklah menyediakan hand sanitizer. 

vi. Majikan melaksanakan proses sanitasi dan pembersihan perlu. 

vii. Syarikat hendaklah memastikan garis panduan amalan terbaik social distancing disediakan dan dilaksanakan. 

Laporan ke balai polis yang berdekatan boleh dibuat sekiranya majikan yang tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu (non-essiential) masih beroperasi dan mengarah pekerja hadir bekerja dalam tempoh tersebut. 

2. Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan ini, adakah majikan berkewajipan membayar gaji pekerja sepanjang tempoh dari 18 hingga 31 Mac 2020? 

Ya, majikan wajib membayar gaji penuh. Pekerja bergaji harian perlulah dibayar mengikut kadar upahan yang telah dipersetujui di antara majikan dan pekerja di dalam surat tawaran/kontrak perkhidmatan/surat kenaikan gaji terkini. Untuk pekerja yang mana upahnya tidak tetap maka kadar hariannya hendaklah tidak kurang daripada kadar gaji minimum seperti dalam Perintah Gaji Minimum 2020. 

3. Sekiranya majikan enggan bayar gaji dalam tempoh tersebut, apakah tindakan yang boleh saya lakukan? 

Pekerja boleh mengemukakan aduan secara atas talian melalui emel rasmi Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Sila kemukakan maklumat lengkap berkenaan aduan tersebut untuk memudahkan pengurusan aduan oleh pihak JTK. Pekerja juga boleh membuat aduan dengan cara hadir sendiri ke Pejabat Tenaga Kerja berdekatan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan. Walau bagaimanapun, siasatan ke atas aduan akan dijalankan selepas tempoh perintah ini tamat. 

4. Saya sebagai majikan, adakah saya perlu membayar gaji pekerja sepanjang tempoh tersebut? 

Ya, majikan wajib membayar upah sepanjang tempoh tersebut kerana kontrak perkhidmatan masih berterusan. 

5. Sekiranya pekerja di luar skop Akta Kerja 1955 / Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) / Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), adakah majikan perlu membayar gaji pekerja untuk tempoh tersebut? 

Ya, majikan wajib membayar upah / gaji kerana perkara ini telah termaktub dalam kontrak perkhidmatan yang di persetujui diantara majikan dan pekerja. 

6. Adakah majikan boleh memaksa pekerja menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji pekerja sepanjang tempoh tersebut? 

Tidak boleh kerana perintah telah dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). 

7. Adakah saya layak untuk menuntut insentif RM600 seperti yang diumumkan oleh kerajaan bagi menggantikan gaji yang sepatutnya dibayar oleh majikan sepanjang tempoh perintah ini? 

Insentif RM600 tidak terpakai bagi maksud tempoh perintah ini disebabkan tempoh minimum untuk kelayakan ialah satu bulan. 

8. Sekiranya majikan tersenarai dalam perkhidmatan perlu (essential services) adakah saya perlu membayar gaji pekerja sekiranya pekerja ENGGAN bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini? 

Pekerja tidak perlu dibayar gaji 

9. Bolehkah majikan meminta pekerja untuk bekerja dari rumah? 

Boleh, bagi pekerjaan yang bersesuaian dan boleh dijalankan dari rumah. 

10. Jika pekerja bekerja dari rumah adakah saya perlu membayar gaji pekerja beserta elaun? 

Ya, gaji pekerja beserta elaun yang berkaitan hendaklah dibayar. 

11. Jika majikan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan ini, adakah ia satu kesalahan? 

Ya, ia adalah satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya. 

Senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. 

12. Sebarang pertanyaan berhubung isu-isu ini bolehlah hubungi: 

Bilik Gerakan Pemantauan Pekerjaan Covid-19 KSM 
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia 
Aras 5 Blok D3 Kompleks D 
Kementerian Sumber Manusia 
62530 Putrajaya 

Talian: 03-8889 2359 / 8886 2409 / 8890 3404 

Emel: jtksm@mohr.gov.my / jtknsabah@mohr.gov.my / jtknsarawak@mohr.gov.my 

Thanks for Reading

Enjoyed this post? Share it with your networks.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.